Langkau ke kandungan utama

RINGKASAN JURNAL: PENGUASAAAN SIFIR DARAB DALAM MATEMATIK TAHAP DUA

RINGKASAN JURNAL: PENGUASAAAN SIFIR DARAB DALAM MATEMATIK TAHAP DUA


Ringkasan jurnal oleh Dragonizer
Penulis asal: Agnes Voo Tun Chuan

Pencapaian rendah di kalangan dalam Matematik di sekolah-sekolah rendah berpunca dari kegagalan pelajar untuk menguasai sifir darab. Kegagalan pelajar dalam menghafal sifir dan mencongak di depan rakan-rakan mereka boleh menyebabkan mereka menghadap math phobia. Satu kajian tindakan melibatkan murid tahun 5 yang rendah pencapaiannya dipilih. Pelajar-pelajar ini didapati tidak memahami konsep operasi darab, tidak belajar melainkan di sekolah, tidak mahu belajar, tidak sedar tentang kepentingan pendidikan dan belum menguasai kemahiran membaca dan menulis. Tinjauan awal melibatkan temubual dengan guru dan murid, semakan profil murid dan ujian awal. Didapati sample terdiri daripada anak pendatang, tiada dorongan/perhatian ibu bapa/penjaga, ke sekolah tanpa sarapan pagi, bekerja di luar waktu sekolah dan jarang hadir ke sekolah. Setahun kemudian, satu lagi kajian tindakan diadakan pada kelompok murid yang sama, tetapi melalui rombakan kelas. Pra-ujian diadakan semula dan didapati hanya sebilangan kecil sahaja murid-murid yang dapat menguasai sifir darab dan ada juga yang tidak dapat mendarab dalam masa yang ditetapkan. Temuduga dijalankan dan didapati hasilnya pelajar dimasukkan ke dalam tiga kumpulan iaitu; 1) tidak tahu (dari segi fahaman konsep, kaedah belajar, membaca dan menulis); 2) tidak dapat (status ekonomi keluarga, kekangan masa, aktiviti lain) dan 3) tidak mahu (tidak minat belajar).



Seterusnya diadakan perjumpaan dengan ibu bapa. Pengkaji telah mengadakan sesi bimbingan di mana perkara-perkara seperti kepentingan pendidikan dan keperluan belajar, kepentingan matematik dalam hidup, sifir dan kegunaanya disentuh. Kelas hari Sabtu diadakan untuk belajar semula konsep asas operasi darab, latihan congak setiap hari, ujian dari semasa ke semasa, perjumpaan dengan guru semasa rehat/selepas sekolah dan pelajar digalakkan membantu antara satu sama lain. Aktiviti hari Sabtu bertujuan membolehkan pelajar memahami konsep operasi darab melalui aktviti hands-on untuk mendapat konsep, menulis sifir pada kadbod untuk ditampal di dinding, menulis sifir pada kad kecil yang boleh dimasukkan dalam saku, a x b = b x a dan mencari gambar tersembunyi dengan menggunakan sifir. Pelajar juga diajar menghafal dengan menggunakan teknik lipatan kertas selain latihan mencongak secara lisan dan Mad Minute (jawab soalan operasi darab sebanyak mungkin dalam masa satu minit) semasa kelas Matematik. Berdasarkan Ujian Pertengahan Program dan Ujian Post didapati keputusan dai kedua-dua ujian ini amat menggalakkan. Pengkaji menyimpulkan bahawa kerjasama antara guru-guru lain sukar dibina, kanak-kanak memerlukan perhatian sepanjang masa; perlukan intensif untuk belajar, tunjuk cara yang berterusan sangat diperlukan, latihan congak mesti diteruskan; permainan Matematik sungguh popular dan murid-murid biasanya menghadapi masalah dalam sifir 6,7 dan 8.

Ulasan:

Penulis membincangkan mengenai aktiviti Kajian Tindakan yang dijalankan terhadap pelajar yang gagal menguasai sifir darab. Penulis pada akhir penulisannya juga berpendapat bahawa guru-guru perlu memainkan peranan yang lebih positif dalam menerapkan pengajaran pembelajaran sifir darab kepada murid-murid berpencapaian rendah. Berdasarkan sejarah perkembangan pendidikan matematik di Malaysia, kandungan isi pelajaran matematik telah beberapa kali mengalami perubahan. Dari segi kandungan sukatan pelajaran, kurikulum matematik yang dilaksanakan sebelum tahun 70’ an memberi fokus kepada matematik tradisi. Dalam kurikulum matematik tradisi, matematik sekolah pada amnya disusun sebagai himpunan kemahiran dan konsep mengikut hirarki tertentu. Objektif pengajaran yang berlandaskan kepada teori pembelajaran tingkah laku telah membuat matematik terbahagi kepada ratusan bahagian, dan setiap bahagian diajar secara berasingan antara satu sama lain (Asiah Abu Samah, 1982).

Dalam sukatan ini, kemahiran asas dalam ketepatan dan kelajuan kira mengira diberi penekanan. Segala pengiraan atau susunan algoritma (seperti dalam geometri Euclid) mestilah mengikut prosedur atau tertib tertentu. Pendekatan ini adalah selari dengan teori pembelajaran tingkah laku yang pada keseluruhannya berasaskan kepada objektif tingkah laku. Fokus teori ini adalah kepada bentuk atau jenis tingkah laku berulang manusia apabila dipengaruhi oleh b eberapa rangsangan. Pendekatan pengajaran pembelajaran begini sangat berkesan dalam meningkatkan kemampuan pelajar dari segi mengulangi algorithma atau prosedur matematik, tetapi tidak boleh digunakan untuk menerapkan pemikiran matematik yang lebih luas(Noor Azlan Ahmad Zanzali, 1996).

Matematik pada ketika itu dianggap sebagai ilmu kira mengira. Segala fakta, petua dan hukum mesti dihafal oleh murid-murid. Maka pembelajaran matematik menjadi satu rutin menerima pengetahuan, menghafal pengetahuan dan membuat latih tubi supaya meningkatkan penghafalan (Ibrahim Md. Noh, 1995).

Berikutan dengan reformasi pendidikan yang berlaku diseluruh dunia ‘matematik moden’ telah mula diperkenalkan di sekolah -sekolah di Malaysia. Dalam sukatan pelajaran matematik Pilihan C yang dilaksanakan pada awal 70’an, unsur-unsur matematik moden dimasukkan dalam sukatan pelajaran (Asiah Abu Samah, 1982).

Pendekatan pengajaran yang bermula dengan pemahaman konsep, tanpa mengurangi kepentingan mengira, berasaskan kepada penghayatan struktur matematik telah dilaksanakan di sekolah. Guru-guru digalakkan menggunakan kaedah inkuiri dalam pengajaran mereka. Murid-murid mula didedahkan kepada proses matematik untuk menghasilkan sesuatu keputusan matematik dan bukan hanya terhad kepada penggunaan hasil matematik sahaja (Noor Azlan Ahmad Zanzali, 1996).

Murid akan dilibatkan secara aktif dan guru memainkan peranan sebagai pemudah cara (fasilitator). Berbeza dengan peringkat awal tadi, di mana guru hanya terlibat sebagai pengajar (instructor) (Ibrahim Md. Noh, 1995).

Pengajaran dan pembelajaran matematik telah mula diubahsuai supaya lebih menumpu kepada memberi makna kepada matematik yang diajar. Di peringkat sekolah rendah, Projek Khas telah ditubuhkan oleh Kementerian Pendidikan untuk tujuan menyediakan panduan untuk guru-guru berasaskan sukatan pelajaran yang sedia ada. Di peringkat sekolah menengah sukatan pelajaran matematik moden (atau matematik Pilihan C), berpandukan kepada bahan-bahan hasil projek Scottish Mathematics Group (SMG) dan School Mathematics Project (SMP) telah digubal dan mula dilaksanakan pada 1970. Penyusunan kurikulum matematik dalam era matematik moden telah dilakukan dengan kaedah yang berbeza daripada era sebelumnya.



Rujukan:





1.Noor Azlan bin Ahmad Zanzali (2003) Modul Pengajaran “SPS 4823 Pendidikan Matematik”



2.Nor Azlan Ahmad Zanzali (1996). ‘Isu-isu Berterusan Dalam Pendidikan Matematik’. Jurnal Pendidik dan Pendidikan, 14, 19-40.



3.Nik Azis Nik Pa(1992). Agenda Tindakan: Penghayatan Matematik KBSR dan KBSM. Kuala Lumpur : DBP



4.Kementerian Pelajaran Malaysia (1988). Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Pecahan ; Permudahkan , Kecilkan

Nota Darab dan Bahagi